Friday, March 11, 2011

Fully Synthetic

Minyak pelincir jenis Sintetik Sepenuhnya (Fully Synthetic) sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna kenderaan di negara kita. Minyak pelincir jenis ini lebih mahal dan biasanya dijual dengan harga melebihi RM100 (tertakluk kepada jenama pengeluar). Antara kadar kelikatan yang popular digunakan ialah 0W/30, 5W/40, 5W/50 atau 10W/40. Namun, sejauh manakah anda mengenali minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ ini.



Minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ diasaskan daripada 2 jenis bahan utama, iaitu ‘Polyalphaolefins (PAOs)’ dan ‘Ester’. ‘PAOs’ dihasilkan melalui jalinan molekul bahan kimia bersama ‘Ethylene’ untuk membentuk satu rangkaian yang seimbang serta berupaya mengekalkan kelicinan di dalam enjin. Sementara ‘Ester’ pula terhasil daripada reaksi alkohol dengan sejenis asid. Bahan-bahan ini akan diadun (blend) bersama aditif-aditif lain menggunakan kepakaran teknologi terkini mengikut formula tertentu. Proses ini akan dapat mengubah struktur molekul sintetik dan seterusnya menghasilkan produk minyak pelincir ‘Fully Synthetic ‘ untuk pasaran.

Minyak pelincir ‘Fully Synthetic’ adalah lebih sesuai untuk kegunaan enjin-enjin moden dan kurang sesuai untuk enjin-enjin lama. Ini kerana kadar kelikatannya yang rendah akan menyebabkan minyak pelincir tadi terpeluwap (vapourised). Ramai dikalangan pengguna tidak memahami faktor ini dan akibatnya mereka akan mengalami masalah minyak pelincir yang semakin hari semakin berkurangan.

Komponen-komponen enjin yang baru mempunyai kadar renggangan (gap) yang kecil. Sementara komponen-komponen enjin lama, contohnya Gelang Omboh (Piston Ring) mempunyai kadar ‘gap’ yang lebih tinggi dan ini akan menyebabkan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah akan mudah tersusup masuk ke ruang pembakaran (combustion chamber). Minyak pelincir ini akan terbakar bersama bahanapi dan asap yang keluar melalui ekzos akan berwarna kebiruan dan berbau busuk.



Untuk lebih kepastian tentang kesesuaian penggunaan gred dan jenis minyak pelincir untuk kenderaan anda, sila minta nasihat daripada mekanik yang berpengalaman atau pengeluar minyak pelincir itu sendiri. Anda juga boleh merujuk laman web http://www.sae.org/news/rightoil.htm. Kesilapan pemilihan minyak pelincir mungkin tidak menampakkan kesan sampingan segera kepada enjin kenderaaan anda. Oleh itu, pastikan anda tidak membuat kesimpulan mudah yang akhirnya akan merugikan diri anda sendiri.

No comments: